Sunday, February 19, 2006

Permaisuri segala perhiasan

Sahabat,
"Dunia itu perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah" [Riwayat Muslim]. Demikianlah sabda azimat Rasulullah s.a.w. di dalam memperkatakan betapa berharganya seorang perempuan.
Apabila kita menyebut perhiasan, semestinya ia adalah sesuatu yang indah, berharga, disayangi dan bangga untuk dijaga. Oleh sebab itu barangkali, perempuan sering disimbolkan dengan sesuatu yang cantik dan menawan. Ada yang kata ia ibarat bulan purnama, ada pula yang kata ia ibarat mawar yang mekar di jambangan dan ada pula yang menyamakan dengan kejora di langit biru. Bulan purnama yang cerah senantiasa direnung dek pungguk di dahanan. Mawar di jambangan sering pula disapa kumbang yang ingin menikmati manisnya madu. Kejora yang bersinar di angkasaraya menambahkan cahaya kerlipan bebintang kecil yang ada di sekelilingnya.

Namun demikian, itulah perumpamaan-perumpamaan yang sering diberikan oleh manusia bersandarkan ciptaan-ciptaan Tuhan jua yang ada di sekeliling kita. Biarpun dunia ini penuh dengan perhiasan-perhiasan yang dapat menghembuskan keinsafan kepada orang-orang yang berfikir namun Allah s.w.t. telah memberikan kenyataan yang cukup jelas tentang wanita solehah yang menjadi permaisuri segala perhiasan.

Salihah bererti baik. Baik di sini bukan sekadar baik dari segi zahir yang berupa tingkah laku yang sopan di dalam pergaulannya atau pun menutup aurat yang diperintahkan daripada pandangan bukan mahram tetapi juga mempunyai hati yang tulus ikhlas di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t. Oleh sebab itu perhiasan yang dikatakan sebaik-baik perhiasan bukan sahaja daripada zahirnya tetapi juga batin dan jiwanya. Perempuan solehah bukan hanya senang untuk mata memandang tetapi juga menenangkan hati yang tidak tenang. Oleh sebab itu perempuan salihahberusaha memperbaiki akhlaknya sesama insan dan juga akhlaknya apabila berada di dalam ibadatnya. Bicaranya penuh hikmah dan sopan. Bisa menyentuh jiwa-jiwa yang terlalai yang ada di sekelilingnya. Ketenangan raut wajahnya memberikan inspirasi dan teladan kepada kawan-kawannya untuk turut melewati perjalanannya menjejaki kasih dan cinta Tuhan. Kebenaran dipertahankan, kesongsangan diperbetulkan. Pergaulan diperhatikan agar disenangi oleh kawan-kawan. Jiwanya subur dengan kasih sayang. Hatinya melimpah dengan rasa kehambaan. Ilmu dijadikan senjata peribadi kerana dia tahu, manakah mungkin untuk dia mengenal Tuhan tanpa ilmu pengetahuan yang mencukupi.
Cintanya yang sebenar hanya pada Tuhan. Rindunya pada sendu di dalam sujudnya. Ketenangannya ada pada malam hari yang dihiasi titis air mata apabila mengenangkan dosa. Bibirnya basah dengan dhikrullah dan kalam Tuhan. Mahkota perhiasannya adalah malu untuk berada di dalam keadaan yang dimurkai Tuhan.

Dunia adalah perhiasan yang amat mempesonakan. Tersilap langkah orang-orang yang menyintainya boleh tersasar dan kehilangan arah untuk terus berada di dalam pengabdian. Tetapi perempuan salihah, dia adalah sebaik-baik perhiasan yang akan mempesonakan orang yang menyintainya terhadap kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Salam kasih sayang!